Tentang Blog Ini

Blog ini khas untuk rakan-rakan seperjuangan yang pernah berada di bawah satu bumbung semasa menuntut ilmu dalam Tingkatan 6 di Sekolah Menengah Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, pada tahun 1975 dan 1976. Rakan-rakan boleh posting apa sahaja asalkan tidak menyinggung perasaan rakan-rakan yang lain. Jika perlukan bantuan hubungi admin blog di 012-2345889. Blog ini juga boleh dibaca dalam pelbagai bahasa.

Thursday 26 April 2012

CERITA DULU-DULU

Dipetik dari blog Jokiden

HARGA SEBUAH KEJUJURAN... REZEKI JANGAN DITOLAK.. AKHIRNYA NEELOFA IKUT PULANG

Sambungan Cerita Tukang Kayu...


Seperti yang Jokiden janjikan cerita tukang kayu akan disambung sikit lagi.. Ikutinya seperti di bawah.

Sampai di rumah dengan siulan yang luar biasa si tukang kayu terus memanggil isterinya dan menunjukan kapak emas dan kapak perak yang dibawanya. "Kita dah kaya, kita kaya.." katnya sambil menyandarkan badan ke dinding rumahnya yang hapir reput tersebut. "Buek teh kaw..kaw..tarik" perintahnya kepada si isteri.

Isteri tukang kayu amat terkejut dengan apa yang dilihatnya dan dia hampir pengsan. "kau jangan pengsang, den tak todayo nak ngangkek kau doh, bodan kau tu macam badak... dah poie buek air" perintah si tukang kayu.

Isterinya dengan susah payah menuju ke belakang dan kembali dengan teh kaw yang diminta oleh suaminya. Si isteri bertanya banyak soalan bagaimana si tukang kayu memperolehi kapak emas dan kapak perak tersebut. Lalu si tukang kayu menceritakan dari mula hingga ke akhir akan peristiwa kapak besinya terjatuh ke dalam tasik dan muncul pari-pari membantunya. "sebab aku jujur dan ikhlas, balasannya tentulah berbaloi.." kata si tukang kayu bangga dan mengakhiri ceritanya.

Isterinya amat teruja dengan cerita si tukang kayu dan kebaikan hati pari-pari. Dia memujuk suaminya supaya membawa dia ke hutan untuk melihat tasik berkenaan dan kalau berpeluang untuk bertemu dengan pari-pari bagi mengucapkan terima kasih. Suaminya berkeras dan mahu membawanya dengan alasan jauh, jalan berbukit, semak samun dan dia ingin bercuti sehari dua daripada mencari kayu api. "Bodan kau tu bosa, susah masuk hutan tu..." katanya cuba mengelak.

Isterinya terus mendesak dan akhirnya si tukang kayu terpaksa akur apabila isterinya telah mula meninggikan suara, silap hari bulan dia boleh seliuh tengkok jika isterinya meletakan tangannya yang besar itu di situ. "Oklah, ok.. esok solopeh subuh kito poie.."

Dipendekan versi, esoknya menjelma juga, si tukang kayu dan isterinya dengan berbekalkan kuih kodok pisang dan teh kaw berjalan ke dalam hutan. Hampir satu jam mereka tiba di pinggir tasik yang luas itu. Terbeliak lagi mata si isteri pertama kali melihat tasik yang luas, cantik dan biru airnya.

"Ooo di sinilah pari-pari tu duduk bang?" tanyanya. "Iyo.. kito boghonti rehat kojap..ponek ni" kata si tukang kayu sambil melabuhkan punggung dan bersandar di sebatang pokok. Isterinya terus ke tepi tebing tasik kerana mempunyai perancangan tersendiri. Dia membawa gelang rotan miliknya dan ingin mencampakan ke dalam tasik dengan harapan pari-pari akan muncul dengan gelang perak dan gelang emas. Dia juga ingin jadi kaya.

"Jangan poie topi bona. baik-baik, licin tu, tobing tu cuuurram.." si tukang kayu menasihati isterinya. Belum sempat dia menghabiskan ayatnya tiba-tiba "gedebumww!!" si isteri telah terjatuh ke dalam tasik dan dalam sekelip mata lenyap dari pandangannya.

Si tukang kayu meraung sambil memukul-mukul tanah kerana isteri kesayangannya telah terjatuh ke dalam tasik dan tentulah lemas akhirnya. Lama dia termanggu di tepi tasik, mengharapkan pari-pari akan timbul membantunya.

Harapan tinggal harapan sehinggalah lewat senja si tukang kayu akhirnya putus harapan. Perlahan-lahan dia bangun dan dengan air mata yang masih mengalir dia mula mengatur langkah untuk kembali ke rumahnya.

Tiba-tiba bunyi ribut menderu dan air tasik berombak kuat macam dilanda tsunami. Pari-pari muncul dan segera menemui si tukang kayu. "Kenapa bersedih tukang kayu..apa yang terjadi?" tanyanya.

"Isteri saya pari-pari, terjatuh dalam tasik ni..sejak pagi tadi tak timbul-timbul aaa.. tu yo lah isteri yang ese ado." kata si tukang kayu, tersasul dalam loghat Negeri Sembilan nya. "Ese dah laghang dio datang sini, dio nak ikut yo, nak jumpo ngan pari-pari, ese laghang dio poie kek topi tobing, dio poie yo.. tolonglah aa" Si tukang kayu terus merayu.

"Ooo jangan bimbang, biar saya cari..tunggu!!!" kata pari-pari lalu menyelam ke dasar tasik. Beberapa saat kemudian dia muncul kembali sambil mendukung sekujur tubuh yang kaku dan membawanya kepada si tukang kayu. " Inikah isteri kamu tukang kayu, nah ambillah.. dia masih pengsan ni, kejap lagi dia akan sedar.." kata pari-pari.

Si tukang kayu melihat tubuh yang kaku tersebut dengan mata yang terbeliak, ke atas ke bawah, tanpa dapat berkata-kata.

"Inikah isteri kamu?? nah ambilah.."
Lama dia baru menyedari bahawa itu wajah Neloofa. "mak oii lawa ea.." bisik hati kecilnya. "Kenapa terdiam tukang kayu, kalau dia isteri kamu ambillah.." sergah pari-pari. "Iya..iiyyyaaa, iiaa, dia isteri ese...iyo dio bini sei.." katanya mula gagap.

"Baiklah.." kata pari-pari dan meletakan tubuh tersebut di sebelah tukang kayu. Kemudia dia terus hilang ke dalam tasik disertai bunyi ribut yang lebih kuat.

Si tukang kayu merenung tanpa puas kepada wajah di sebelahnya sambil menunggu 'isterinya' itu tersedar. Bermacam-macam fikiran datang dalam hatinya, terutamanya penerimaan masyarkat kampung nanti apabila dia membawa pulang isteri yang jelita. Persepsi masyarkat desa tentunya sukar menerima kenyataan yang dia mendapat isteri cantik dari tasik. tentu fitnah datang mencurah-curah dan bertali arus. Tentu ramai yang akan berasa dengki dan iri hati.. bla..bla.. panjang jika hendak dihuraikan.

Dipendekan lagi sekali kisah ini. Ketika Neloofa sudah sedar dan bersiap-siap hendak mengikut si tukang kayu kembali ke rumah tiba-tiba terdengar bunyi ribut yang terlebih kuat dan pari-pari muncul dari tasik. Mukanya tidak seceria dulu.. "hei tukang kayu.. kenapa kali ini kau tidak jujur, itu dah sah bukan isteri kamu.. dulu kau tidak mengaku kapak perak dan kapak emas milik kamu, aku anggap kau memang seorang yang jujur, kali ini kau mengaku Neloofa sebagi isteri kamu.."bentak pari-pari.

"Pari-pari..ese memang jujur.. ese dah tau dah, kalau ese tak ngaku Neloofa ni bukan bini sei, kau nyolam balik, kau bawak pulak Fazura..bilo ese tak ngaku Fazura tu bini ese.. kau nyolam balik dan bawak bini ese yang sobona ea.. lopeh tu ese ngaku itu bini ese.. kau pulak boghi aan Neloofa dan Fazura duo-duo kek ese.. tak sanggup ese doh... bia lah soghang ni yo aa.." Kata si tukang kayu sambil menarik tangan Neloofa dan berjalan meninggalkan pari-pari yang terkebil-kebil. Jawab tetap jawab..

Ps, jangan marah.. ini kisah santai. Moral cerita.. buat sendiri

Wednesday 4 April 2012

Wednesday 21 March 2012

KEKAGUMAN SAYA

Selamat sejahtera kawan-kawan,

Secara ikhlasnya saya tidak begitu pasti apa sebenarnya yang hendak di paparkan di sini untuk kita kongsikan bersama. Setakat hari ini belum ada rakan-rakan yang menghubungi saya samada untuk menyumbangkan coretan mahupun yang memberikan respon atas cadangan reunion TMS tersebut.

Namun begitu saya dapati pelawat kepada blog ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Tidak elok sekiranya tidak ada bahan-bahan baru yang diupdatekan. Sekurang-kurangnya rakan-rakan yang membukanya akan bertemu dengan sesuatu yang baru. Penyampai maklumat, itulah fungsi sebenar blog ini.

Minat terkini rakan-rakan memang sukar diketahui, sebab itu di sebelah kiri saya masukan pautan-pautan tertentu secara rambang, sekadar untuk memudahkan rakan-rakan sekelian. Umpamanya ada link untuk berita, ada link untuk urusan bank, penempahan penerbangan dan ada link untuk bersosial. pilihlah link yang bersesuaian dengan jiwa kita dan boleh berikan cadangan sekiranya link tersebut hendak ditambah. Mana-mana link yang tidak sesuai dengan diri kita biarkan saja dan tidak usah disentuh.

Coretan kali ini ialah tentang sesuatu yang saya kagumi. Banyak sebenarnya, cuma yang disentuh ialah satu dua sahaja. Mungkin dilain posting akan ditambah.

Hampir setiap hari kita terbaca dalam laporan akhbar ataupun siaran di TV tentang rampasan dadah terbesar di negara kita samada di KLIA, di LCCT, di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan pelbagai tempat lagi. Kagum saya melihat keberanian pengedar-pengedar tersebut menyeludupkan dadah mereka ke negara ini. Bukan mereka tak tahu risiko hukuman gantung sampai mati sekiranya tetangkap, tapi mereka lakukan juga. Pelbagai cara digunakan termasuk menelan hingga sekilogram dadah. Bayangkan sekiranya terpecah dalam perut..gol jawabnya. Turut dikagumi ialah kekentalan iman pegawai-pegawai penguatkuasa berhadapan dengan wang tunai berlonggok-longgok sehingga mencecah jutaan ringgit.

Melihat gambar tetamu Allah semasa mengelilingi Kaabah, atau sedang berwukup di Mina, atau sedang menunaikan solat tarawih, saya terasa lemas. Semasa musim haji jumlah yang terkumpul di sana sekitar 3 hingga 4 juta orang pada satu-satu masa. Tetapi pada bulan Ramadan jumlahnya meningkat sehingga 6 juta orang. Terasa kerdilnya diri ini menginsafi kebesaran Allah. Semuanya selamat, semuanya ada rezeki makan dan minum ketika itu. Semua kemudahan tersedia dan mencukupi. Mampukah kita banyangkan sekiranya sepatu, kasut atau selipar dilonggokan pada satu tempat dan jumlahnya berjuta pasangan?.

 
Pada hari hujung minggu berada di mana-mana lebuh raya di negara ini amat mengkagumkan saya. Ratusan ribu kenderaan sedang mundar mandir menuju distinasi masing-masing. Pusat-pusat peranginan padat dengan pengunjung di mana ceruk rantau sekalipun. Pada hari Sabtu dan Ahad berapa juta liter minyak digunakan oleh pelbagai kenderaan di negara ini..? Saya kagum.







 
Setiap hari membuka lembaran akhbar atau majalah kita akan dapati pelbagai jenis berita dipaparkan. Kagum saya dengan kegigihan para pemberita mencari bahan dan kagum saya dengan kehebatan juru gambar merakamkan setiap peristiwa. Kagum juga saya dengan kreativiti penyunting dan pereka set dalam setiap akhbar tersebut. Bayangkan setiap hari ribuan berita akan disiarkan dan perkara itu berulang-ulang dan terus berlaku. Tanpa wartawan sebenarnya dunia akan menjadi sepi dan lesu. Di seluruh dunia golongan ini sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar dalam kehidupan kita.

Dulu saya mengkagumi dunia teknologi mesin faximili. Kita berada di Taman Panchor Jaya, kita faxkan sekeping gambar atau surat ke Amerika, sesaat selepas itu kiriman kita akan diterima di sebelah sana sebiji dengan yang ada di depan mata kita. Kecanggihan teknologi hari ini tak yah ceritalah..berpisah beribu batu terasa dekat sangat dengan teknologi terkini seperti internet, skype atau video. Bayangkan majlis pertunangan di Felda Pasir Besar dipancarkan secara terus ke Kanada dan dapat diikuti pada masa itu juga.

Pelayar solo negara Datuk Azhar Mansor mengelilingi dunia secara sendirian memerlukan semangat yang kental selama 4 bulan di samudera yang luas di malam yang gelap gulita. Sementara Puan Syarifah Mazlina pula mengembara ke Kutub Utara seorang diri mengharungi cuaca sejuk hingga mencecah paras beku juga harus dikagumi walaupun ada yang mengatakan belaiu menipu(Baca di sini). Kemudian seorang yang tanpa kaki berusaha selama 30 tahun akhirnya berjaya berada di puncak Everest.. hahaha..kagum saya.


Bersambung!!

Oleh:
Jokiden.

Thursday 8 March 2012

JEMPUTAN KAHWIN


ASSALAMUALAIKUM WBT

SAYA MOHD SAH ZAINAL ABIDIN

DAN

ROKIAH HJ SIRAT

DENGAN SEGALA HORMATNYA MENJEMPUT SEMUA RAKAN-RAKAN WARGA TMS YANG MELAYARI BLOG INI KE MAJLIS PERKAHWINAN ANAK PEREMPUAN KAMI NADIRAH

PADA 10 MAC 2012, SABTU 17 RABI'UL AKHIR 1433 HIJRAH

BERTEMPAT DI NO 19, JALAN SRI KASIH 4, TAMAN SRI KASIH, 70450 SENAWANG.

ATURCARA MAJLIS:

12.00 TENGAH HARI HINGGA 4.00 PETANG JAMUAN MAKAN

1.30 TENGAH HARI KETIBAAN PENGANTING.

SEMUGA ADA KELAPANGAN.

TERIMA KASIH.

Tuesday 28 February 2012

BERTEMU KAWAN LAMA

Oleh:
Mohd Sharif Ahmad

Pada 25 Februari 2012 jam 8.30 malam, bertempat di Dewan Desa Melang Inn Kuala Pilah saya menghadiri majlis meraikan pengantin baru anak kepada rakan sekolah iaitu Hj Adzman Abu Hassan.



 
Majlisnya meriah dan ramai sekali tetamu yang hadir. Tema majlis pada malam itu adalah serba hijau. Adzman adalah merupakan rakan sekolah saya semasa di Form 6, TMS pada sessi 1975 dan 1976.

Beliau menjemput ramai rakan-rakan sekolah dan di dalam ucapannya sempat juga beliau melahirkan penghargaan atas kehadiran kami semua.

Antara yang hadir ialah Halim Gumpal yang tiba dari Kuala Kangsar, Aziz Bakar yang datang dari Sg Koyan, Habibah Yussof, Zahari Osman jauh datang dari PP, Dr Norizan Md Nor juga dari PP, Md Shah Zainal, Abd Rahim Pendek dari Gemas dan Ybhg Dato' Ab jalil Abdullah. 

Biasalah kalau dah bertemu kawan lama, kami seronok berbual, tidak terasa masa berjalan begitu pantas. Persetujuan lisan dicapai agar satu reunion diadakan pada 1 dan 2 September 2012 sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri.

  

Reunion mungkin diadakan di Pulau Pinang dimana Dr Norizan dan Zahari akan menjadi tuan rumah. Saya bertanggung jawab mengumpulkan rakan-rakan lama dan membina laman sosial ini untuk memudahkan rakan-rakan berkongsi maklumat.

Kami juga diberitahu Dr Norizan mungkin akan menyambut menantu pada bulan September ini kelak. Mungkin tarikh yang dicadangkan boleh diubah suai nanti.

Mari kita sama-sama jayakan program ini kelak.   



Gambar ini di ambil dari album facebook Aziz Bakar